WILFRED
WILFRED
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan menukar sistem amaran cuaca daripada kaedah warna kepada amaran bertulis bagi memudahkan kefahaman sistem penyampaian maklumat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ia bagi memastikan orang ramai bersedia awal sebelum kejadian tidak diingini berlaku seperti hujan lebat, tanah runtuh dan banjir.

Menurutnya, sistem amaran ketika ini kurang difahami dan tidak sampai kepada kumpulan sasar terutama penduduk luar bandar.

Katanya, MetMalaysia akan menukar sistem pemantauan hujan iaitu kuning merujuk kepada hujan lebat dalam tempoh sehari hingga tiga hari kepada waspada, jingga (hujan lebat berterusan) kepada cuaca buruk dan merah iaitu hujan lebat berterusan melebihi 240 milimeter sehari kepada bahaya.

“MetMelaysia mengadakan perbincangan dengan pihak media bagi memastikan penyebaran maklumat amaran ini disampaikan secara optimum.

“Kita harap masyarakat luar bandar bersedia awal jika keadaan memerlukan.

“Laman web kami sering mengalami gangguan apabila menerima jumlah akses tinggi dan MetMelaysia meningkatkan keupayaannya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Terdahulu menjawab soalan asal Noraini yang bertanyakan sejauh mana kementerian melihat permulaan Monsun Timur Laut sebagai fenomena yang berupaya mengakibatkan banjir besar atau bencana alam dalam tempoh sekarang hingga Mac depan, Madius berkata, MetMalaysia menjangkakan negeri di pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak akan menerima jumlah hujan tinggi menyebabkan berlaku banjir ketika musim Monsun Timur Laut mulai bulan ini hingga Januari depan.

Katanya, dalam tempoh itu, negara diramal menerima empat hingga lima kali hujan lebat yang membawa kepada banjir besar.

“Tinjauan cuaca di Semenanjung iaitu Kelantan dan Terengganu dijangka menerima curahan hujan kira-kira 700 milimeter (mm) pada November dan Disember, manakala Pahang dan timur Johor menerima hujan 400 mm pada Disember dan Januari depan.

“Keadaan ini mengakibatkan banjir terutama di kawasan lembah sungai dan kawasan rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 4:21 AM