GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor membenarkan sehingga 2,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) termasuk pentadbir dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pertambahan jemaah dibuat hanya untuk solat Jumaat manakala bagi solat lima waktu, ia sama seperti dimaklumkan pada September lalu.

Beliau berkata, selain masjid negeri, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Fi Sabilillah Cyberjaya masing-masing membenarkan 700 jemaah manakala Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang serta masjid daerah dibenarkan sehingga 600 jemaah.

"Seramai 500 jemaah dibenarkan di masjid institusi; 400 di masjid pengurusan; 350 di masjid kariah serta 250 di surau kebenaran solat Jumaat," katanya menerusi Facebook (FB) hari ini.

Menurut perkongsian itu, mana-mana pegawai masjid, surau kebenaran solat Jumaat serta pentadbir musolla yang belum mengambil suntikan vaksin tidak dibenarkan untuk mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat serta solat lima waktu.

Katanya, pegawai serta pentadbir yang belum mengambil vaksin lengkap juga tidak dibenarkan mengendalikan aktiviti pengimarahan lain yang mana sekiranya terdapat dalam kalangan mereka yang masih enggan untuk mengambil suntikan vaksin hendaklah dilaporkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Terdahulu, pada September lalu, Selangor membenarkan sehingga 1,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Negeri manakala 500 jemaah bagi masjid lain dalam tempoh PPN Fasa 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 3:12 PM