GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor mengutamakan ahli kariah yang sudah lengkap dua dos vaksin untuk hadir dan mendirikan solat sunat Aidiladha 1442, Selasa ini.

Demikian kenyataan menerusi infografik di Facebook rasmi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, hari ini.

Selain itu, semua pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat hanya dibenarkan untuk menjemput jemaah yang terdiri daripada ahli kariah yang tinggal dalam kariah masjid atau surau berkenaan sahaja.

Mohd Zawawi berkata, selain masjid dan surau yang dibenarkan, umat Islam amat digalakkan menunaikan solat sunat Aidiladha di kediaman masing-masing memandangkan jumlah yang dibenarkan di masjid dan surau adalah terhad.

"Bagi umat Islam yang tidak dapat hadir ke masjid dan surau adalah dianjurkan untuk mendirikannya bersama ahli keluarga masing-masing dan lain-lain tempat tidak dibenarkan.

"Ketua keluarga hendaklah mengambil peranan penting menggerakkan seluruh ahli keluarga dapat melaksanakan ibadah itu dengan tertib sungguhpun tidak berpeluang hadir ke masjid atau surau berdekatan kediaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata, had jemaah hanya 50 orang termasuk pentadbir bagi enam jenis kategori masjid membabitkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (masjid negeri ), Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, Masjid Pengurusan, Masjid Institusi dan Masjid Kariah.

"Bagi surau kebenaran Jumaat adalah seramai 40 jemaah termasuk pentadbir. Bagaimanapun, surau kariah tidak benarkan melaksanakan solat Aidiladha itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 1:14 PM