Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pengasas produk kecantikan menafikan dakwaan dia menipu duit orang ramai yang membeli tudung keluaran selebriti, Fazura seperti tular di media sosial.

Noor Fadilah Mohamad, 34, sebaliknya mendakwa, tidak pernah menjual tudung termasuk keluaran pelakon popular itu dan hanya mengusahakan perniagaan berasaskan produk kecantikan selain barangan dari China secara dalam talian sejak lebih dua tahun lalu.

Katanya, dia percaya nama dan gambarnya sudah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya orang ramai, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Saya membuat dua laporan polis iaitu pada 14 Ogos lalu ketika identiti saya dikaitkan dengan penjualan tudung (jenama lain) dan terbaharu kes ini (tudung Fazura) yang dibuat pada 31 Ogos lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung.

"Scammer berkenaan menggunakan gambar dan nama saya di WhatsApp serta Instagram, bahkan kejadian ini mengganggu emosi dan kerja saya.

"Orang ramai marah dan menggelar saya penipu sedangkan saya tidak melakukannya. Urusan perniagaan saya hanya menggunakan akaun rasmi syarikat sahaja, ASKED Enterprise bukan akaun peribadi," katanya ketika ditemui di Seri Manjung di sini, hari ini.

Menurut Noor Fadilah, dia mula menyedari identitinya disalahgunakan pihak berkenaan ketika dihubungi oleh seorang pembeli tudung sebuah jenama pada bulan lalu.

"Selepas itu rakan pula bertanya jika saya ada menjual tudung Fazura pada 30 Ogos lalu dan saya sangat terkejut apabila diberitahu gambar saya sudah tular kerana didakwa menipu.

"Individu itu menggunakan gambar sama dengan 'profile' Facebook (FB) saya dan mempunyai akaun atas nama yang hampir sama dengan nama saya iaitu Pn Noor Fadilah, tetapi ia bukan akaun saya termasuklah nombor telefon digunakan," katanya.

Noor Fadilah berkata, dia kesal orang ramai menularkan perkara itu tanpa usul periksa dan dia juga bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa melakukan siasatan segera sekali gus membersihkan namanya.

"Saya berharap dengan penjelasan ini mana-mana pihak tidak lagi berkongsi gambar saya dan hantaran mengenainya serta memadamkan hantaran berkenaan," katanya yang memberitahu sudah dihubungi oleh pengurusan tudung keluaran Fazura bagi penjelasan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 12:49 PM
NOOR Fadilah Mohamad menunjukkan laporan polis dan tangkap layar gambarnya yang digunakan ‘scammer’. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
NOOR Fadilah Mohamad menunjukkan laporan polis dan tangkap layar gambarnya yang digunakan ‘scammer’. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.