Pesakit barah, Noor Diana Hashim berniaga di Bazar Ramadan di Angsana Mall di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Pesakit barah, Noor Diana Hashim berniaga di Bazar Ramadan di Angsana Mall di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Doktor menyatakan sel kanser saya agresif dan boleh merebak ke organ lain, namun saya terpaksa menangguh rawatan radioterapi demi mencari rezeki bagi meringankan beban keluarga."

Begitu kata Noor Diana Hashim, 45, isteri kepada bekas anggota kumpulan nasyid Iman Heart yang sibuk berniaga biskut raya di bazar Ramadan di Angsana Mall, di sini.

Noor Diana berkata, dia yang menghidap barah tahap tiga sanggup menangguhkan rawatan enam kitaran kemoterapi diikuti radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menurutnya, selain berniaga, dia dan ahli keluarga juga bergilir-gilir menjaga suaminya yang baharu menjalani implan tulang belakang di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada awal minggu lalu.

Katanya, suaminya masih menjalani rawatan dan dijangka dibenarkan pulang dalam tempoh masa terdekat.

"Alhamdulillah, buat masa ini saya sihat, namun doktor menasihati saya supaya menjalani kemoterapi kerana tempoh rehat selepas rawatan sebelum ini sudah tamat.

"Namun, saya meminta jasa baik doktor untuk menangguh rawatan kepada perlu menyelesaikan beberapa perkara. Saya berserah kepada Allah kerana saya perlu menjaga suami selain mencari rezeki.

"Saya bersyukur kerana ketiga-tiga anak memahami situasi keluarga dan bergilir-gilir menjaga suami di hospital selain dua anak lelaki membantu dari segi kewangan sekadar termampu," katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) apabila membiayai kos pembedahan suaminya berjumlah RM9,400.

"Saya perlu menanggung perbelanjaan lain termasuk rawatan susulan suami mahupun saya, di samping perbelanjaan dapur keluarga dan persekolahan anak.

"Justeru, saya mengambil keputusan untuk menjual pelbagai jenis biskut raya demi kelangsungan hidup.

"Keuntungan saya bukan banyak, namun sekurang-kurangnya ia mampu menampung perbelanjaan pada masa kini," katanya.

Noor Diana diuji dengan barah payudara sejak September 2021 manakala suaminya, Zek Ayry Khan, 45, pula mengalami masalah slipped disc dan keadaan Zek Ayry bertambah buruk sejak lima bulan lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Am Bank 1040070003182 atas nama Noor Diana Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 2:18 PM