Omar Ahmad


Johor Bahru: Negara semakin hampir mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus untuk populasi dewasa apabila baki 1.8 peratus boleh dicapai dalam tempoh terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga semalam negara merekodkan 78.2 peratus daripada populasi dewasa yang lengkap divaksinasi.

Katanya, manakala setakat ini, 93.1 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos sintikan vaksin.

"Secara keseluruhan, 56 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, manakala 67.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya dos satu.

"Tumpuan ketika ini diberikan kepada negeri-negeri untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi menjelang akhir bulan ini.

"Bulan ini, kadar liputan adalah lebih tinggi di beberapa negeri tertentu yang mana usaha pemvaksinan rakyat ditumpukan di negeri-negeri yang masih mencatatkan kadar vaksinasi lebih rendah iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah seperti yang telah diumumkan sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Orang Kurang Upaya (OKU) Pandu Lalu di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di sini, hari ini.

Menurut Adham, mengikut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 seramai 517,447 daripada 575,564 OKU merangkumi 89.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

"Seramai 401,425 OKU telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi.

Dr Adham (kanan) bersama Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adibah Radzi semasa melawat PPV OKU Pandu Lalu di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Dr Adham (kanan) bersama Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adibah Radzi semasa melawat PPV OKU Pandu Lalu di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD

"Bermula esok ia dibuka untuk orang ramai secara "walk-in" pandu lalu sehingga 30 September ini," katanya.

Menyentuh mengenai trend penurunan vaksinasi, Adham berkata liputan vaksinasi di kebanyakan negeri di seluruh negara ketika ini berada di landasan yang baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya trend penurunan dapat dilihat dalam kadar vaksinasi semasa negara ketika ini jika dibandingkan dengan sebelum ini kerana sebahagian besar di Lembah Klang sudah mempunyai kapasiti harian yang tinggi berbanding negeri-negeri lain.

"Penurunan kadar vaksinasi harian ini bukan bermakna usaha vaksinasi diperlahankan, sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu termasuk mensasarkan kumpulan yang tercicir.

"Usaha vaksinasi jangkauan luar yang dijalankan mengambil masa yang lebih panjang serta tiada bilangan besar penerima vaksin yang dicatatkan secara harian sebagaimana vaksinasi dilakukan di PPV bersaiz besar.

"Kadar vaksinasi negara yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 232,559 suntikan dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang.

"Manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis merekodkan vaksinasi terendah susulan liputan vaksinasi yang terus meningkat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 12:48 PM