VAKSIN Covid-19. FOTO Mohd Fadli Hamzah
VAKSIN Covid-19. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mahani Ishak

Kuala Lumpur: Lebih 80 peratus penduduk Labuan, Lembah Klang dan Sarawak sudah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin Covid-19 setakat, semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter, memaklumkan Labuan mencatatkan 93.1 peratus atau seramai 63,750 orang daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

Sementara, seramai 69,613 penduduk dewasa termasuk penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin dilaporkan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Ia diikuti Lembah Klang dengan 88.7 peratus atau 5,468,893 penduduknya lengkap dua dos, sementara seramai 6,808,020 lagi termasuk bukan warganegara serta pemastautin sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sarawak pula mencatatkan 86.4 peratus atau seramai 1,765,851 orang menerima dua dos sementara sebanyak 90.3 peratus atau seramai 1,844,333 lagi menerima dos pertama.

Ketika ini, Negeri Sembilan merekodkan 76.4 peratus atau seramai 622,081 orang menerima dua dos, sementara penerima dos pertamanya seramai 762,161 orang atau 93.4 peratus.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 10:41 AM