Hamzah Zainuddin ketika hadir di sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hamzah Zainuddin ketika hadir di sidang media khas di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Hampir RM150 juta berjaya dipungut Kerajaan Persekutuan melalui dua program Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bermula pada November 2020 sehingga 30 Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata, program di bawah Jabatan Imigresen itu akan diteruskan sehingga 31 Disember kelak.

Beliau berkata, setakat Isnin lalu, seramai 301,013 PATI didaftarkan melalui Pelan Rekalibrasi PATI membabitkan 122,270 yang mendaftar diri untuk pulang manakala 178,743 serta 8,544 majikan mendaftar untuk program rekalibrasi tenaga kerja.

Katanya, daripada jumlah yang memilih untuk pulang, seramai 101,851 sudah kembali ke negara asal dengan kutipan hasil sebanyak RM59,171,400.

"Apabila kita lakukan ini, kita mohon mereka membayar wang cagaran dan kita mengutip sebanyak RM87,591,000. Jadi, ini bermakna kita sudahpun memperolehi cagaran keseluruhannya dalam program ini mencapai kira-kira RM150 juta," katanya selepas kembali semula ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, tadi.

Pada masa sama, Hamzah berkata, sehingga 30 Ogos lalu, sebanyak 2,388 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen membabitkan 11,112 tangkapan PATI serta 110 tangkapan dikalangan majikan.

Beliau berkata, ketika ini kapasiti di Depoh Jabatan Imigresen sudah mencecah 94 peratus apabila pusat tahanan itu menempatkan seramai 19,848 PATI.

Selain itu, beliau berkata, KDN komited dalam menambah baik dasar dari semasa ke semasa termasuk kawalan sempadan melalui pendekatan lima sempadan merangkumi perolehan aset strategik di sempadan utara Kedah, utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak.

"Oleh kerana ini kita memerlukan sesuatu yang lebih strategik. Kita akan memberikan fokus termasuk pembukaan pintu masuk yang baharu (seperti) di Sabah dan Sarawak; pembinaan pos kawalan; pembelian radar, kamera litar tertutup (CCTV) dan dron; serta penggunaan teknologi tinggi yang lebih canggih untuk mengawal sempadan kita," katanya.

Hamzah juga berkata, KDN akan meneruskan segala perancangan dasar yang terkandung dalam Pelan Strategik KDN 2021-2025 dan Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau berkata, KDn juga akan meneruskan cadangan pindaan akta dan undang-undang yang dirancang sebelum ini seperti Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substans serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 4:11 PM