Tinjauan pekerja warga asing.
Tinjauan pekerja warga asing.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan memperkenalkan Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini mampu memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presiden Parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), Datuk Mohammed Mohsin Abdul Razak berkata, pengumuman mengenai lanjutan

Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja PATI dapat memulihkan kembali ekonomi negara dengan segera akibat kerugian yang besar disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja.

Menurutnya, Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja PATI akan memberi nafas kelegaan dan masa untuk industri merancang dan menyampaikan satu pelan tenaga kerja lebih komprehensif kepada kerajaan.

"Cabaran ekonomi global memerlukan semua pihak yang menjadi sebahagian dari libat urus kerajaan dan pihak swasta serta industri-industri yang terkesan bersepakat dalam mencari jalan penyelesaian kepada keperluan yang memerlukan.

"Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui gerak kerja dan keprihatinannya mempamerkan ciri-ciri kepimpinan Islam yang harus menjadi teladan kepada semua," katanya tadi.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Pelan Rekalibrasi PATI akan dilaksanakan bermula 16 November 2020 hingga 30 Jun 2021.

Jelasnya, ia diadakan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

Mohammed Mohsin menambah, majikan berkenaan perlu mengikuti segala ketetapan kerajaan seperti pengambilan biometrik dan sebagainya bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan program itu.

"Pelan itu juga membuktikan Muhyiddin seorang pemimpin Islam yang mendengar masalah rakyat dan bertindak dengan penuh efisien.

"Kami juga melahirkan penghargaan kepada Hamzah dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang telah membawa isu serta cabaran yang dihadapi pengusaha komuniti dalam industri yang memerlukan tenaga kerja asing sejak sekian lama kepada perdana menteri," katanya.

Tambahnya, kedua-dua menteri itu juga mendengar rintihan peniaga yang terkesan akibat kekurangan tenaga kerja dalam sektor tertentu dan memahami keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja asing.

Difahamkan Majikan yang berminat perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai PATI hendak digajikan sebelum membuat permohonan perakuan rekalibrasi kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 8:54 PM