HAMZAH (kanan) bersama M Saravanan sebelum memulakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6 Bilangan 2 Tahun 2021 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
HAMZAH (kanan) bersama M Saravanan sebelum memulakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6 Bilangan 2 Tahun 2021 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Majikan yang mahu membawa masuk pekerja asing ke negara ini perlu menanggung semua kos berkaitan termasuk kos saringan dan kuarantin wajib dikenakan terhadap tenaga kerja terbabit sebaik mereka tiba di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata, semua pekerja asing terbabit perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ketibaan semua pekerja asing itu hanya melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 serta pintu masuk di Sabah dan Sarawak yang akan ditetapkan. Pintu masuk itu akan diumumkan kemudian.

"Tempoh kuarantin diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di Pusat Kuarantin yang diperakui kerajaan.

"Majikan bertanggungjawab untuk menanggung semua kos untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing, kali ke-6, di sini, tadi.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Hamzah berkata, ketika ini, sektor pertama yang mendapat kebenaran untuk membawa masuk pekerja asing adalah sektor perladangan.

Pada masa sama, mesyuarat semalam turut membincangkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Beliau berkata, Kerajaan akan terus melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga 31 Disember ini dengan membuka semua sektor kecuali sektor beku.

Katanya, pelan itu memberi peluang kepada semua majikan yang masih menggajikan PATI untuk tampil mendaftar Pelan Rekalibrasi PATI supaya semua iwarga asing yang berada di Malaysia memiliki dokumen sah.

"Kami beri tempoh sehingga 31 Disember hadapan dan selepas ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menjalankan operasi besar-besaran," katanya.

Hamzah berkata, seramai 212,926 PATI sudah berdaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, untuk digaji sebagai pekerja asing yang sah.

"Daripada jumlah itu, seramai 34,318 pekerja asing sudah mendapat kelulusan verifikasi dan 20,889 pula gagal," katanya.

Beliau berkata, seramai 157,719 lagi masih belum hadir proses verifikasi di Jabatan Imigresen dan kesemua peserta yang gagal dalam proses regularisasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dihantar pulang melalui Program Rekalibrasi Pulang secara automatik.

Hamzah berkata, faktor usia PATI terbabit menjadi antara alasan mengapa mereka tidak lulus proses verifikasi.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:49 PM