FIRDAUS yang bertugas di KPJ Ampang Puteri terpilih memenangi hadiah 30 Hari 30 Frontliners.
FIRDAUS yang bertugas di KPJ Ampang Puteri terpilih memenangi hadiah 30 Hari 30 Frontliners.

Kuala Lumpur: Selepas enam tahun bertugas sebagai jururawat, air matanya gugur apabila melihat ramai pesakit Covid-19 yang diuruskannya di Unit Rawatan Rapi (ICU) meninggal dunia.

Jururawat ICU Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Firdaus Abd Razak berkata, kesedihan itu tidak boleh digambarkan kerana menguruskan pesakit terbabit dalam tempoh panjang hingga ada berbulan lamanya.

"Secara tidak langsung, hubungan kami menjadi akrab dan mereka dijaga seperti ahli keluarga sendiri.

"Saya melihat perjalanan pesakit bertarung nyawa melawan virus ini. Mereka dimasukkan dalam wad dengan keadaan masih mampu berkomunikasi hingga ditidurkan.

"Keadaan pesakit dimasukkan ke ICU disebabkan Covid-19 tidak boleh dijangka kerana kesihatan mereka boleh merosot bila-bila masa.

"Pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya namun Allah lebih menyayanginya dan akhirnya meninggal dunia," katanya.

Firdaus berusia 28 tahun adalah pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners anjuran CSR, HotFM, Fly FM dan Harian Metro.

Menurutnya, kesedihan lebih berganda kerana membayangkan situasi itu berlaku kepada keluarganya sendiri.

Katanya, bertugas pada peringkat awal penularan pandemik ini adalah mencabar kerana perlu membiasakan dengan perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Perasaan saya pada masa itu adalah bercampur baur, sedih dan tertekan. Ini kerana mengurus serta rawatan pesakit Covid-19 dengan pesakit biasa, berbeza pendekatannya.

"Saya perlu cepat belajar dan selain itu kena membiasakan diri memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang menguruskan pesakit," katanya.

Firdaus berkata, doa kedua-dua ibu bapanya menjadi kekuatan dirinya untuk terus berjuang membantu menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 yang dirawat di wad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 12:42 PM