FIRDAUS bersama ibu dan keluarganya. FOTO ihsan Firdaus Abdullah
FIRDAUS bersama ibu dan keluarganya. FOTO ihsan Firdaus Abdullah
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Wanita yang videonya tular memeluk Islam sejak semalam, kini semakin sembuh daripada Covid-19.

Anak kedua wanita berkenaan, Fringco John Wayne @ Firdaus Abdullah, 45, berkata, video berkenaan dirakam pada 9 September lalu.

Menurutnya, ibunya, Laimi Tinggi @ Nur Laila Abdullah, 65, dimasukkan ke wad Hospital Duchess of Kent (HDOK) pada 4 September selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh.

"Selepas dihantar ke hospital, ibu disahkan dijangkiti Covid-19.

"Sejak itu, kesihatan ibu semakin merosot. Pada pagi 9 September doktor kemudian menghubungi saya dan memaklumkan ibu berada di tahap lima Covid-19.

"Saya kemudian meminta petugas wad membantu agar saya dapat membuat panggilan video bersama adik-beradik yang lain," katanya ketika ditemui hari ini.

Firdaus berkata, ketika dalam panggilan video itu, ibunya sempat meluahkan hasrat untuk memeluk Islam jika keluar wad kelak.

"Melihat keadaan ibu yang merisaukan ditambah lagi dengan sakit buah pinggang tahap empat, saya meminta pertolongan petugas hospital membantu ibu melafazkan kalimah syahadah pada hari berkenaan.

"Alhamdulillah dengan bantuan tiga jururawat, ibu akhirnya memeluk Islam dan kami adik-beradik sangat gembira sehingga menitiskan air mata. Kami juga meminta keadaan itu dirakamkan," katanya.

Katanya, dia memiliki lima adik-beradik, empat sudah memeluk Islam.

"Kesihatan ibu semakin baik. Kami lihat ibu semakin ada tenaga dan boleh duduk," katanya.

Berita berkaitan

'Aku sudah sah Islam' - Pesakit Covid-19

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:20 PM