MURSHIDAH bersama hadiah dimenangi
MURSHIDAH bersama hadiah dimenangi

Melaka: Terpaksa berkorban masa dengan keluarga itu cabaran dilalui petugas barisan hadapan Murshidah Yusoff, 45, apabila perlu memberi sepenuh perhatian terhadap tugas dan tanggungjawabnya sebagai jururawat.

Menjadi individu yang dipertanggungjawabkan menyediakan polisi untuk mengekang pandemik dan audit berkaitan Covid-19 di hospital tempatnya bertugas membuatkan dia perlu sentiasa bersedia 24 jam seminggu kerana pada bila-bila masa sahaja khidmatnya diperlukan.

Katanya, jika sebelum pandemik sebaik habis bertugas dan berada di rumah dia sepenuhnya boleh meluangkan masa bersama keluarga, namun kini suasana itu berubah.

"Sekarang ini memang sibuk, selain perlu menyediakan polisi berkaitan pandemik dan cara mengekang jangkitan di hospital saya juga perlu melakukan audit ke atas kakitangan supaya mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Waktu pandemik ini telefon perlu pastikan bersedia 24 jam sehari kerana bila-bila masa sahaja hospital akan hubungi untuk mengenal pasti kontak rapat sekiranya ada pesakit yang tiba-tiba positif Covid-19," katanya yang terpilih memenangi 30 Hari 30 Frontliners anjuran CSR, HotFM dan Harian Metro di hospital tempatnya bertugas di Ayer Keroh.

Dia yang kini ditugaskan sebagai Jururawat Kawalan Infeksi berkata, dalam usaha memutuskan penularan ini, petugas kesihatan turut berdepan dengan segelintir individu bersikap tidak jujur ketika mendapatkan rawatan di hospital.

"Dalam berdepan dengan sikap segelintir orang awam yang tidak jujur petugas perlu bertindak tegas supaya tidak berlakunya perebakan penyakit di hospital.

"Diharap orang awam bersikap jujur dengan status mereka sekiranya ada terdedah dengan individu positif COVID-19, berterus terang ketika mendapatkan rawatan di hospital ataupun kekal berada di rumah sehingga dihubungi untuk tindakan susulan," katanya.

Ibu kepada enam anak berusia 10 hingga 21 tahun ini berkata, walaupun kini masanya banyak untuk kerja, namun dia bersyukur suami dan anaknya faham akan tugas dan kewajipan yang perlu digalas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:01 AM