GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Seramai 93 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital kerajaan di Kedah ketika ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo berkata, penggunaan katil di wad hospital kerajaan bagi pesakit Covid-19 seluruh negeri mencapai 91.1 peratus sehingga semalam.

Menurutnya, sebanyak 52.3 peratus katil pula digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) antaranya di Sungai Petani dan Kulim.

"Penggunaan katil ICU Covid-19 sekarang adalah 83.9 peratus daripada 112 katil.

"Bagi pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital, sebanyak 15.54 peratus berada pada kategori lima, manakala kategori empat adalah sebanyak 69.68 peratus.

"Sebanyak 5.42 peratus yang dirawat di hospital adalah merupakan pesakit Covid-19 untuk kategori tiga, 6.93 peratus bagi kategori dua dan 2.45 peratus kategori satu," katanya.

Semalam, Kedah mencatatkan 2,162 kes baharu dengan kes tertinggi dicatatkan di Kota Setar dengan 491 kes dan diikuti Kulim (486 kes) dan Kuala Muda sebanyak 476 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 7:47 PM