FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 90 pesakit Covid-19 sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) daripada 96 katil ICU Covid-19 di semua hospital kerajaan di negeri Kedah setakat tengah hari semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, daripada jumlah itu seramai 42 pesakit di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

"Status ini adalah yang diperolehi setakat tengah hari semalam, kita mempunyai 96 katil ICU Covid-19 di seluruh hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kedah.

"Seramai 90 pesakit Covid-19 kini sedang dirawat di ICU, daripada jumlah itu 42 pesakit memerlukan bantuan pernafasan. Sehingga kini penggunaan katil di semua hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Kedah secara keseluruhannya sudah mencapai 95 peratus," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Dr Othman berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan dua kontena sejuk beku bagi menempatkan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Katanya, kedua-dua hospital itu memerlukan kontena khas berkenaan berikutan kes kematian pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

Kedah semalam mencatatkan 12 kematian akibat Covid-19 manakala kelmarin (Khamis) sebanyak 17 kematian direkodkan.

Sehingga semalam Kedah terus menjadi antara negeri tertinggi yang mencatatkan kes baharu Covid-19 selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu 1,281 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 11:43 AM