GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di hospital di Kelantan menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua minggu iaitu pada kadar melebihi 70 peratus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penggunaan katil ICU sehingga semalam adalah 78.2 peratus.

Katanya, penggunaan ICU sebelum ini berada di bawah kadar 70 peratus dan begitu juga dengan penggunaan katil hospital yang merekodkan sebanyak 79.3 peratus.

"Peningkatan ini disebabkan jangkitan kes Covid-19 di Kelantan meningkat dalam tempoh dua minggu ini yang menyebabkan kemasukan pesakit ke hospital dan ICU bertambah.

"Pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan mencatatkan sebanyak 52.2 peratus dan mereka yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula 43.9 peratus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes harian yang dicatatkan adalah dalam kalangan pesakit bagi kategori satu dan dua serta hanya beberapa kes saja untuk kategori tiga hingga lima.

Dr Zaini berkata, walaupun kebanyakan kes bagi kategori satu dan dua, namun masyarakat diharapkan sentiasa menjaga diri ketika berada di tempat orang ramai untuk mengelakkan jangkitan.

"Saya ingin menasihatkan penduduk negeri ini supaya memberi kerjasama untuk sama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes Covid-19 di Kelantan masih tinggi.

"Jangan terlalu leka dan sentiasa beringat kerana kes Covid-19 ini sudah berada di dalam komuniti kita," katanya.

Untuk rekod, Kelantan semalam mencatatkan sebanyak 639 kes dan dua kluster baharu iaitu Kluster Lorong Persekutuan di Pasir Mas serta Kluster Kampung Kubang Palas, Tumpat masing-masing dengan kumulatif 21 dan 28 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 11:47 AM