FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri sudah meminta tiga wad Covid-19 baharu dibuka di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Hospital Kulim dan Hospital Kuala Nerang bagi menampung pertambahan jumlah pesakit ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, langkah itu diambil berikutan kapasiti wad Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berada pada tahap 72 peratus dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) mencapai 89 peratus.

Jelasnya, kemudahan yang mula dibuka mulai minggu ini, mampu menampung sehingga 200 katil pesakit di HSAH, 300 katil pesakit di Hospital Kulim dan sebanyak 72 katil pesakit di Hospital Kuala Nerang.

"Setakat tengah hari ini, seramai 63 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di HSAH, 33 pesakit di Hospital Kulim dan kurang 30 pesakit dirawat di Hospital Kuala Nerang.

"Kita jangka jumlah pesakit akan terus meningkat berdasarkan kes positif Covid-19 yang turut naik setiap hari dan kita yakin kemudahan di empat hospital ini mampu merawat individu berkenaan," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sehingga semalam, Kedah mencatat 114 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes aktif keseluruhan kepada 972 selain sudah mencatat 3,533 kes sembuh setakat ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, bagi pesakit tahap satu Covid-19 yang sudah dirawat kira-kira 10 hari dan didapati tidak mempunyai simptom, mereka dibenarkan pulang ke rumah bagi meneruskan proses kuarantin.

"Terdapat 110 individu positif Covid-19 dan selepas dirawat di hospital didapati tidak mengalami simptom dan diarah menjalani proses kuarantin di rumah serta dipantau keluarga masing-masing.

"Individu ini dipakaikan gelang merah dan dihubungi Pusat Kesihatan Daerah setiap hari bagi memastikan mereka tidak keluar berjalan serta patuh kepada arahan kuarantin sehingga tempoh ditetapkan," katanya.

Dr Mohd Hahati berkata, bagaimanapun individu positif Covid-19 tahap kedua dan ke atas masih perlu menjalani rawatan di wad hospital ditetapkan kerana ada antara mereka memerlukan bantuan alat pernafasan selain pemantauan berkala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 4:30 PM