GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dua hospital di Kedah memerlukan kontena sejuk beku bagi menampung mayat pesakit Covid-19 yang kian meningkat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, hospital berkenaan ialah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

"Keadaan peti mayat di hospital berkenaan sentiasa penuh, jadi kita memerlukan kontena sejuk beku bagi menempatkan mayat pesakit Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kedah mencatatkan kes ketiga tertinggi Covid-19 selepas Selangor dan Kuala Lumpur dengan jumlah kes sebanyak 1,281 kes hari ini berbanding semalam 1,212 kes.

Dr Othman berkata, penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk di unit rawatan rapi (ICU) sudah mencapai 95 peratus di semua hospital di negeri ini.

Katanya, tidak semua pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

"Bantuan alat pernafasan di ICU masih mencukupi kerana tidak semua pesakit memerlukannya.

"Bagi menampung kes pesakit Covid-19 yang semakin tinggi kita memberi keutamaan merawat pesakit kategori empat dan lima manakala kategori lain dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC)," katanya.

Beliau berkata, berikutan kes yang semakin meningkat di Kedah, HSAH, Sungai Petani turut akan dijadikan sebagai hospital penuh Covid-19 tidak lama lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:35 PM