ANTARA pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
ANTARA pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan seorang lelaki mengedar pelbagai jenis dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Segambut, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menjalankan serbuan di lokasi berkenaan pada jam 3 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap suspek menemui tiga ikatan gelang getah yang setiap satu daripadanya mengandungi 10 foil aluminium mengandungi 300 pil disyaki dadah erimin 5 seberat 93.88 gram dari dalam poket seluar lelaki itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudian melakukan serbuan di sebuah rumah di Segambut yang membawa penemuan pelbagai jenis dadah.

"Kami menemui 1,500 pil disyaki erimin 5 seberat 458.70 gram, ketamin (130 gram), methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (1,500 gram) dan 20 pil ekstasi (7.25 gram).

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua serbuan itu adalah sebanyak RM121,862 dan ia mampu menampung kegunaan seramai 31,380 penagih," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terbabit dan sumber bekalan diperoleh.

"Hasil tangkapan dan rampasan itu, kami yakin berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif, namun dia mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 12:58 PM