Azami Mohd Nor.
Azami Mohd Nor.
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Masyarakat Orang Asli yang terjejas dengan projek pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang akan diberikan pampasan, peluang pekerjaan dan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, hasil daripada sesi libat urus, beberapa perkara sudah dipersetujui seperti menyediakan pampasan yang adil.

Kata beliau, ia berdasarkan kesan dihadapi terutama mereka yang terkesan secara langsung dan kampung yang akan tenggelam disebabkan pembinaan empangan itu.

"Kita memberi pampasan kepada Orang Asli dengan sewajarnya, yang mana tanaman mereka tenggelam, tetapi kampung mereka tidak tenggelam.

"Selain itu, kita juga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada Orang Asli semasa fasa pembinaan projek dan operasi stesen jana elektrik. Semua pihak dirujuk dalam pakej pampasan ini dan ia diangkat kepada kerajaan negeri untuk kelulusan," katanya.

Azami (PAS-Kadok) menjawab soalan Ab Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Azami berkata, kerajaan negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mengadakan sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dengan beberapa jabatan kerajaan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob yang memberi jawapan tambahan berkata, kerajaan negeri menandatangani perjanjian kerjasama dengan TNB hari ini.

"Insya Allah, tandatangan antara kerajaan negeri dan TNB akan dibuat hari ini, maka barulah ia (projek) akan bermula," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pembinaan empangan hidroelektrik di perkampungan Orang Asli di Nenggiri, mampu mengurangkan kadar caj perkhidmatan elektrik dan mengelakkan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 3:03 PM