Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 7,499,702 jumlah dos vaksin diterima Selangor daripada kerajaan pusat sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah itu membabitkan 3,874,982 dos vaksin adalah Sinovac; 3,364,920 dos Pfizer dan 259,800 dos AstraZeneca.

"Dari aspek kumpulan sasar, penerima vaksin adalah mengikut janji temu yang sudah diberikan menerusi aplikasi MySejahtera yang sudah dikoordinasi dengan jumlah vaksin mengikut fasa ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) dalam persidangan Dun Selangor hari ini yang ingin mengetahui tentang jumlah kuota, kumpulan sasaran dan penerima serta jadual penyerahan vaksin di Selangor yang dibekalkan kerajaan pusat.

Persidangan Penggal Keempat Dun Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Persidangan Penggal Keempat Dun Selangor Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, pada masa ini kerajaan negeri hanya boleh membantu dalam menggiatkan lagi kempen meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat berhubung kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

Katanya, pengambilan vaksin Covid-19 bukan mandatori (buat ketika ini) dan tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap golongan yang enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

"Jadi, ini yang perlu kita tekankan untuk memberi kesedaran kepada semua orang ramai menerusi kempen kerana jika mereka tidak lindungi diri sendiri pun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesedaran untuk melindungi orang lain," katanya.

Dr Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer) yang ingin tahu langkah yang akan diambil kerajaan negeri terhadap individu yang enggan mengambil vaksin Covid-19 di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 1:43 PM