GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan negeri Perak meminjam sejumlah dos vaksin daripada Selangor bagi membolehkan populasi dewasa negeri itu menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, surat rasmi berhubung perkara itu dihantar Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim kepada kerajaan negeri Selangor, hari ini.

"Surat itu untuk membolehkan kita meminjam vaksin daripada Selangor dan Insya-Allah kita akan bayar balik vaksin kepada kerajaan negeri itu selepas kita dapat balik (bekalan) vaksin daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak (Dun) di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau menggesa kerajaan Perak mengambil langkah meminjam bekalan vaksin daripada Selangor sebagaimana dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Terdahulu, media melaporkan Pulau Pinang meminjam 200,000 dos vaksin daripada kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan 225,226 populasi dewasa negeri itu menerima suntikan imuninasi pertama Covid-19.

Dalam jawapan balasnya kepada Mohammad Nizar, Saarani bagaimanapun tidak secara terperinci menerangkan jumlah dos vaksin ingin dipinjam pihaknya daripada kerajaan Selangor.

Saarani berkata, sehingga 28 Ogos lalu jumlah bekalan vaksin diterima di Perak adalah 2.383 juta, merangkumi Comirnaty-Pfizer (1.279 juta), Sinovac (1.007 juta) yang termasuk sumbangan daripada Hospital UiTM dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Astrazeneca (94,820), dan CanSino (2,000).

Menurutnya, Perak adalah negeri yang mencapai peratusan tinggi bagi kadar penggunaan stok vaksin yang dibekalkan iaitu antara 89 hingga 95 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 8:06 PM