GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 4,772,010 rakyat negeri ini yang berusia 12 tahun ke atas sudah mendapat sekurang-kurang satu dos suntikan vaksin Covid-19 sehingga 22 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, secara keseluruhan, terdapat seramai 5,120,900 rakyat negeri ini yang berusia 12 tahun ke atas.

"Daripada jumlah itu, sejumlah 569,100 adalah remaja berusia 12 hingga 17 tahun manakala selebihnya iaitu 4,551,800 berusia 18 tahun ke atas.

"Seramai 4,772,010 rakyat di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan dianggarkan sejumlah 348,890 orang belum menerima vaksin sehingga 22 November lalu," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mengenai populasi penduduk Selangor yang belum divaksin termasuk remaja berusia 12 tahun ke atas serta penjawat awam.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, program pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun masih diteruskan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, bagi kumpulan remaja yang sukar untuk hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV), seperti remaja yang tidak bersekolah, Orang Asli serta remaja yang berada di pusat institusi pemulihan atau rumah perlindungan, proses pemberian vaksin dilaksanakan melalui program jangkau luar yang dijalankan oleh Pasukan Outreach Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan NGO.

"Bagi penjawat awam, jumlah keseluruhan terkini penjawat awam di Selangor adalah seramai 22,314 orang dan berdasarkan data yang diterima daripada 43 jabatan dan agensi sehingga 16 November lalu, jumlah penjawat awam yang masih belum mendapatkan dos imunisasi Covid-19 hanya seramai 132 orang iaitu 0.59% daripada jumlah keseluruhan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata, bermula 1 November lalu, Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 yang lengkap dan mana-mana pegawai yang gagal boleh dikenakan Tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

"Ia (tindakan tatatertib) berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa 18 Oktober lalu.

"Pekeliling perkhidmatan itu sudah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada 10 November untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 12:48 PM