BERNAMA

Kuantan: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu.

Pelantikan itu, menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat membanggakan rakyat negeri ini yang kini mempunyai tiga perdana menteri anak jati Tok Gajah, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan anak beliau Datuk Seri Najib serta terkini Ismail Sabri.

Lebih membanggakan apabila pelantikan dan pengurniaan surat cara pelantikan Ahli Parlimen Bera itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah yang juga Sultan Pahang, katanya.

"Pemilihan beliau (Ismail Sabri) adalah melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang selain ia bermerit sama ada dari segi jawatannya dalam parti mahupun kerajaan Persekutuan serta dari segi kelayakan akademiknya.

"Saya berharap semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau agar dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 serta kesan sosioekonomi yang diakibatkan," katanya pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berlangsung secara sederhana dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

Pada permulaan persidangan, Speker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhamad memaklumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) dan Datuk Mohd Fadil Osman (BN-Kemayan) tidak dapat menghadiri persidangan yang berlangsung selama empat hari mulai hari ini, kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Persidangan bersambung esok.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4, Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. Turut kelihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-4, Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. Turut kelihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 1:39 PM