ZAKIAH menjaga Faizal walaupun terpaksa mengikat tangan dan kaki anaknya. FOTO Nor Amalina Alias
ZAKIAH menjaga Faizal walaupun terpaksa mengikat tangan dan kaki anaknya. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


“NAMPAK kejam tapi saya terpaksa demi keselamatan,” kata Zakiah Sulaiman, yang terpaksa mengikat kaki dan tangan anaknya, Faizal Azira Ajid, 24, akibat sering bertindak agresif selepas terbabit kemalangan.

Zakiah, 56, berkata anak kedua daripada empat beradik itu terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang pada 26 September tahun lalu.

Katanya, akibat kemalangan, Faizal yang mesra dipanggil Angah patah tengkuk dan cacat kekal di beberapa bahagian badan selain menjadi ‘bayi’ yang terpaksa memakai lampin pakai buang dan bergantung pada susu.

“Saya terpaksa ikat sebab dia agresif, kemalangan itu menyebabkan otaknya tak dapat berfungsi dan dia banyak mencakar, memukul dan menendang sesiapa yang dekat dengannya.

FAIZAL menjadi agresif selepas terbabit kemalangan. FOTO  Nor Amalina Alias
FAIZAL menjadi agresif selepas terbabit kemalangan. FOTO Nor Amalina Alias

“Malah saya sendiri pernah berdarah telinga akibat ditendang... bagaimanapun hati ibu mana tak luluh lebih-lebih lagi bila dia merayu jangan ikat dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Takil Dalam, Labok, Machang, hari ini.

Zakiah menerima kunjungan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang dipengerusikan Pui Tiong Lam.

Katanya, sebelum ini Faizal yang menyara keluarga selepas suaminya, Ajid Hassan, 55, terkena penyakit kencing tikus.

FAIZAL menerima kunjungan Tiong Lam (depan) di rumahnya di Kampung Takil Dalam, Labok, Machang. FOTO Nor Amalina Alias
FAIZAL menerima kunjungan Tiong Lam (depan) di rumahnya di Kampung Takil Dalam, Labok, Machang. FOTO Nor Amalina Alias

Malah ketika kemalangan, Faizal dalam perjalanan ke Kuantan ketika bekerja dengan syarikat pendawaian dan elektrik di Kelantan.

Zakiah berkata, van dinaiki anaknya mengalami masalah brek dan berlanggar sebuah lagi van dari syarikat sama menyebabkan Faizal mengalami kecederaan parah dan terpaksa menjalani tiga kali pembedahan di bahagian kepala, tengkuk dan muka.

Zakiah berkata, Faizal memerlukan lebih RM500 sebulan bagi keperluan susu, lampin pakai buang dan keluarganya bernasib baik ada individu meminjamkan katil pesakit dan mesin penyedut kahak untuk sementara waktu kerana kasihankan keadaan Faizal.

Katanya, dia kini menjual nasi berlauk bagi menampung keluarga selain anak sulungnya, Nur Azrafieza, 26, turut berhenti kerja bagi membantunya mengurus mandi, makan dan penjagaan Faizal yang perlu dijaga 24 jam.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Zakiah di Bank CIMB bernombor 7616517675 (Zakiah Sulaiman).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 5:56 PM