BANJIR kilat di Kampung Bukit Sebelah, Siong malam tadi. FOTO Tular
BANJIR kilat di Kampung Bukit Sebelah, Siong malam tadi. FOTO Tular
Safuri Kamarudin


Baling: "Kami sudah mangli (biasa) dengan banjir apabila hujan lebat lebih dua jam, mesti air Sungai Ketil akan melimpah ke dalam rumah," kata Siti Laila Abd Hamid.

Siti Laila, 59, dari Kampung Bukit Sebelah, Siong, berkata air sungai melimpah dengan cepat kerana kedudukan rumah mereka berhampiran tebing Sungai Ketil.

Menurutnya, dalam kejadian 8 malam tadi, air masuk ke rumah ketika mereka sedang berehat.

"Apa pun anak-anak sudah mengemas barang ke tempat selamat kerana kami sudah biasa dengan keadaan yang berlaku.

"Kami bersiap awal memindahkan barang agar tidak mengalami kerosakan teruk, malah dalam setahun banyak kali air masuk dalam rumah," katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian banjir kilat itu, sebanyak 39 buah rumah terjejas membabitkan Kampung Seri Ketengga, Tanjung Pari, Batu 60 dan Bukit Sebelah, di sini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, hujan lebat menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dan rumah penduduk dinaiki air setinggi 0.5 meter sejak petang semalam.

Menurutnya, penduduk yang tinggal berhampiran sungai berkenaan mudah terdedah dengan banjir kilat.

"Air mula naik sekitar 8 malam tadi menyebabkan rumah penduduk di tebing sungai dinaiki air dan anggota APM bertindak memantau kawasan bagi mengelakkan kejadian buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 1:38 PM