LALUAN sekitar Gurun dan Guar Chempedak yang dinaiki air akibat fenomena kepala air Gunung Jerai.
LALUAN sekitar Gurun dan Guar Chempedak yang dinaiki air akibat fenomena kepala air Gunung Jerai.
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Lebih 20 rumah penduduk di lima kampung sekitar Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat kesan fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai, hari ini.

Kampung terbabit adalah Kampung Baru, Kampung Sungai Badak dan Kampung Sungai Kunyit Atas di Gurun; manakala Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu di Merbok.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata, setakat ini dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di dua mukim berkenaan demi keselamatan penduduk.

Katanya, setakat 8 malam, 27 mangsa daripada tujuh keluarga yang terjejas sudah dipindahkan ke PPS.

"Hujan lebat dan arus sungai menyebabkan banjir kilat sedalam 1.5 meter melanda kawasan kampung, tetapi ia sudah semakin surut sekarang dan hujan renyai.

"Anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam) masih melakukan pemantauan di kawasan kampung untuk memastikan penduduk dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, hujan lebat lebih sejam turut menyebabkan limpahan Sungai Merbok dan sekitar Tadahan Air Tupah, Gunung Jerai.

Sementara itu, tinjauan mendapati jalan sekitar Jerai dan Guar Chempedak turut dinaiki air dan ditutup daripada lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 9:24 PM