MANSOR Daud menjemur tikar yang basah selepas rumahnya dinaiki air akibat kepala air di Titi Hayun selepas hujan lebat semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
MANSOR Daud menjemur tikar yang basah selepas rumahnya dinaiki air akibat kepala air di Titi Hayun selepas hujan lebat semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Kalau boleh saya nak pindah dari sini, setiap kali hujan lebat memang tak dapat tidur lena kerana bimbang berlaku kejadian kepala air dan banjir sekali lagi," kata Jameah Harun, 59.

Jameah dan suaminya, Mansor Daud, 64, berkata mereka masih dihantui rasa bimbang akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur yang melanda kawasan sekitar kaki Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

Katanya, perasaan itu kembali menghantui diri mereka apabila hujan lebat petang semalam, menyebabkan fenomena kepala air sekali lagi dilaporkan berlaku di sungai berdekatan rumah mereka di Kampung Titi Hayun sekitar jam 10 malam tadi.

"Malam tadi air sungai melimpah dan masuk ke dalam rumah kerana kepala air turun dari Gunung Jerai, tetapi keadannya tidak sekuat seperti berlaku bulan lalu, cumanya kami masih berasa trauma dan takut.

"Setiap kali hujan lebat, saya seperti dapat mendengar deruan kepala air yang turun dan berfikir sekiranya bencana itu berulang, mungkin kali ini lebih dasyat menyebabkan kami hanya mampu berserah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kepala air semalam, penduduk sekitar kaki Gunung Jerai dikejutkan arus deras yang berlaku kira-kira jam 10 malam tadi, selepas hujan lebat dilaporkan berlaku sejak jam 6 petang semalam.

Bagi Mansor pula, kejadian kepala air bulan lalu, menyebabkan dia mudah 'terkejut' setiap kali hujan lebat melanda sehingga kini.

"Kami berdua juga sudah memindahkan semua barangan ke tingkat atas rumah kerana bimbang kejadian kepala air berlaku lagi.

"Kami nak kemas rumah bagi bersih dan elok pun takut, walaupun sudah 20 tahun tinggal di sini," katanya.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, bencana kepala air dan banjir kilat menjejaskan lebih 1,000 penduduk dan turut mengorbankan nyawa enam penduduk yang tidak sempat menyelamatkan diri ketika arus deras menghentam kawasan kaki Gunung Jerai.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, hujan lebat berterusan lewat petang semalam di kawasan Gunung Jerai menyebabkan sungai melimpah, namun tidak menyebabkan banjir teruk.

Katanya, keadaan Sungai Titi Hayun yang semakin cetek juga menyebabkan aliran kepala air menjadi terlalu deras dan menyebabkan penduduk menjadi bimbang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:20 PM