Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Tiada lagi sebarang pengumuman mengenai calon Perdana Menteri kesembilan yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Zulkfili Bujang berkata, pengumuman hanya akan dibuat sehingga nama calon Perdana Menteri sudah dibuktikan.

"Sehingga ia terbukti baru kita buat kenyataan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pejabat Setiausaha Agung Bersatu menafikan ada mengeluarkan kenyataan media mengenai calon Perdana Menteri.

"Pejabat Setiausaha Agung Bersatu menafikan ada mengeluarkan kenyataan media bertajuk 'Calon PM diketengahkan Bersatu dalam kalangan komponen PN'," katanya.

Menurutnya, pihaknya minta kenyataan berkenaan ditarik segera bagi mengelakkan diambil tindakan undang-undang.

Sehingga kini, PPBM masih belum menamakan calon parti itu untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Semalam, satu notis dikeluarkan kepada semua Ahli Parlimen untuk menamakan calon Perdana Menteri selewat-lewatnya 4 petang hari ini kepada Istana Negara.

Notis itu dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 2:51 PM