Gambar fail, Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA.
Gambar fail, Dewan Rakyat. FOTO BERNAMA.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini menafikan telah mengeluarkan dua infografik yang tular di media sosial berkaitan jumlah sokongan Ahli Parlimen bagi memilih calon perdana menteri kesembilan.

Penafian berkenaan dimuat naik menerusi Facebook rasmi Parlimen Malaysia, malam ini.

Dua infografik berkenaan memaparkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong bekas timbalan perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menerusi notis bertarikh 17 Ogos, meminta 220 Ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon perdana menteri kepada Istana Negara.

Notis itu bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai perdana menteri, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 11:19 PM