ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Namanya sedang tular di media sosial untuk dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Sementara itu, pencarian 'Ismail Sabri' di Google juga semakin meningkat sejak Ahad lalu berbanding sebelum itu.

Hanya meletakkan status hantaran di Facebook (FB) untuk bersarapan pun mendapat reaksi puluhan ribu komen, tanda suka dan perkongsian netizen dalam tempoh tak sampai sejam.

"Baru nak breakfast berdua.. Si oyen ni nak join jugak," itu status Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di FB sambil melampirkan fotonya melihat isteri beliau Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang sedang mendukung kucing mereka bernama Oyen.

Ribuan netizen memberikan reaksi apabila Ismail Sabri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri terdahulu menonjolkan riak wajah tersenyum gembira.

Antara reaksi netizen seperti pemilik akaun Tony Monero berkata: "Nampak berseri lain macam muka DS (Datuk Seri)".

Sementara itu, Maliza Ahamad berkata: "Amin-amin. Saya pun doa yang sama. Hujan ni jomlah kita doa ramai-ramai."

Rohaida Abas dalam reaksinya pula berkata: "Jika ditakdirkan DS (Ismail Sabri) menjadi PM, kami rakyat marhain ini berharap DS dapat berkhidmat dengan terbaik demi kesejahteraan rakyat. Pilihlah barisan kabinet yang terbaik dan berkemampuan yang betul-betul boleh bekerja, bukan sekadar pandai beretorik sahaja. Semoga wabak dapat dibasmi dan ekonomi dapat dipulihkan. Kasihan kepada generasi muda yang dalam proses belajar dan baru mula membina kehidupan. Berilah mereka sinar kehidupan. Kata orang, bersatu teguh, bercerai roboh."

Terdahulu, tular sejak semalam, Ismail Sabri bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang Kesembilan.

Ini berikutan beliau dikatakan menerima sokongan padu termasuk dari Umno dan Barisan Nasional (BN) selain blok Perikatan Nasional (PN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Malam tadi, dua Ahli Parlimen BN mengesahkan Ismail Sabri menjadi pilihan BN sebagai calon Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu dicapai secara kosensus dalam mesyuarat Ahli Parlimen BN.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga 4 petang ini untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis dengan nama seorang yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, semalam, yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akuan bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:48 PM