AHMAD Faizal. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Faizal. FOTO Arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bakal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

''Saya mendoakan beliau akan dikurniakan taufiq, petunjuk dan hidayah dalam menjalankan tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru semua pemimpin bekerjasama dan membantu Perdana Menteri dan kabinet yang akan ditubuhkan.

''Hanya dengan bersatu hati kita mampu menangani pandemik yang memberi kesan mendalam dalam kehidupan rakyat. Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh,'' katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata, pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menafikan dakwaan kononnya beliau membuat tuntutan untuk mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang tular di media sosial hari ini.

"Tak betul, teman (saya) le orang yang paling tak tangkap port (ambil kisah) pasal jawatan," katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:34 PM