Datuk Seri Ismail Sabri
Datuk Seri Ismail Sabri
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Angka 114 disebut-sebut sebagai jumlah sokongan yang diterima Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sejak desas-desus mengenai namanya dicalonkan Umno, jumlah sokongan berkenaan meniti di bibir pemerhati politik berdasarkan komitmen beberapa parti yang sudah menyatakan pendirian mereka.

Jumlah sokongan itu terdiri daripada Umno sebanyak 37 Ahli Parlimen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (31), Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Bebas (empat), MCA (dua) dan masing-masing satu daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Jumlah majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan adalah 111 kerusi daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ismail Sabri dipilih sebagai calon tunggal berdasarkan pengalamannya termasuk sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan Timbalan Perdana Menteri.

Pas dan Bersatu pula sudah menyatakan pendirian mereka untuk menyokong Ahli Parlimen Bera itu.

Difahamkan, mesyuarat Majlis Raja-Raja akan diadakan esok bagi memutuskan siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Upacara angkat sumpah jawatan Perdana Menteri pula dijangkakan dilangsungkan pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:40 PM