Ismail Sabri ketika sidang video bersama Kontinjen Malaysia ke Paralimpik Tokyo 2020 yang bermula 24 Ogos hingga 5 September 2021. FOTO IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Ismail Sabri ketika sidang video bersama Kontinjen Malaysia ke Paralimpik Tokyo 2020 yang bermula 24 Ogos hingga 5 September 2021. FOTO IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima ucapan tahniah daripada sakan sejawatnya di Australia, Scott John Morrison, atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan pendek berkata, Morrison menyampaikan ucapan tahniah itu melalui panggilan telefon hari ini.

"Dalam perbualan kami, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan erat yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Australia," katanya.

Ismail Sabri turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri China, Li Keqiang yang menyampaikan perutusan tahniah kepadanya atas pelantikan itu melalui sepucuk surat bertarikh 23 Ogos 2021.

Beliau berkata, Keqiang turut menyatakan komitmennya untuk terus mengukuhkan hubungan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama, mengekalkan hubungan dagang serta berkongsi strategi melawan wabak COVID-19 dengan berkesan.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ia susulanpeletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:35 PM