Foto hiasan
Foto hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

Cyberjaya: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan untuk membuat perubahan terhadap keperluan jam pembelajaran penuntutnya sekurang-kurangnya 70 ke 80 peratus, bergantung kesesuaian bidang program sebagai memenuhi keperluan kredit.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kelonggaran itu diberikan dengan syarat IPT berkenaan melengkapkan kesemua komponen 'body of knowledge' (BoK) termasuk penilaian berdasarkan keperluan hasil pembelajaran yang ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu hanya terpakai untuk semester yang terkesan akibat arahan PKPD atau situasi kecemasan yang diumumkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, IPT boleh menyediakan aktiviti pengukuhan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta meningkatkan kompetensi penuntutnya terhadap topik atau kursus tertentu selepas keadaan mengizinkan.

"Bagi aspek penilaian penuntut pula, IPT boleh mengubah suai penilaian kursus merangkumi penilaian berterusan dan penilaian akhir yang dijajarkan dengan hasil pembelajaran yang sudah ditetapkan, seterusnya memastikan aspek 'validity, reliability dan fairness' dipelihara semasa penilaian dilaksanakan.

"Pengubahsuaian penilaian perlu mengambil kira kekerapan penilaian selaras situasi semasa pelajar," katanya dalam satu kenyataan.

Mohammad Shatar berkata, pihaknya berharap IPT dapat memanfaatkan fleksibiliti yang diberikan dengan menggunakan kreativiti masing-masing bagi mengurangkan beban pelajar yang sebelum ini dilaporkan menghadapi pelbagai cabaran ketika mengikuti PdP dalam talian, namun pada masa sama tetap mengikuti piawaian kualiti ditetapkan MQA.

Beliau berharap tidak timbul lagi isu pelajar bosan ketika mengikuti PdP kerana staf akademik digalakkan mengajar secara kreatif dan seimbang supaya pelajar dapat mengadaptasi kaedah pembelajaran baharu dengan berkesan serta tidak hanya tertumpu pada skrin peranti elektronik.

"Kakitangan akademik boleh mempelbagaikan bahan pembelajaran yang tidak terhad kepada modul kursus tetapi turut membabitkan bahan pembelajaran dalam talian, YouTube, video dan menyediakan rakaman audio digital atau podcast yang boleh menjadikan PdP lebih menarik.

"Ini turut membantu mengurangkan tekanan akibat tumpuan kepada skrin peranti elektronik yang panjang serta memberi lebih ruang pembelajaran kendiri oleh pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 11:26 AM