Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Universiti Awam (UA) digalakkan untuk menjadi penyedia kursus jangka pendek berakreditasi micro-credetial bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, selain mampu menambah pendapatan institusi masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, semua UA perlu merebut peluang itu kerana institusi pengajian tinggi swasta giat menawarkan program sedemikian berdasarkan permohonan yang dibuat kepada pihaknya.

"Berdasarkan rekod, buat masa ini belum ada UA yang menawarkan kursus jangka pendek berakreditasi yang kini menjadi trend dan keperluan industri.

"Banyak bidang yang boleh dijadikan kursus jangka masa pendek, justeru UA yang terawal menyahut peluang ini mempunyai peluang menjana pendapatan lebih besar berbanding yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, UA juga digalakkan menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Apel).

Katanya, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk menyambung pengajian yaang diidamkan dalam bidang masing-masing.

"Kami mempunyai tiga jenis Apel iaitu Apel A untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi, Apel C bagi pemindahan kredit dan Apel Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon," katanya.

Selain itu, beliau berkata Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul UA pertama yang dilawati MQA dalam siri jelajah turun padang yang bermula sejak bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 7:25 PM