KEADAAN sebuah MPV yang remuk teruk selepas merempuh rumah tol di Plaza Tol Kubang Semang, BKE arah Butterworth. FOTO ihsan JBPM
KEADAAN sebuah MPV yang remuk teruk selepas merempuh rumah tol di Plaza Tol Kubang Semang, BKE arah Butterworth. FOTO ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya merempuh pondok tol di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.02 tengah hari berhubung kemalangan itu.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti dengan bantuan BBP Perai dihantar ke lokasi bagi operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Avanza yang melanggar pondok tol. Terdapat seorang lelaki tersepit dalam kenderaan itu.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa oleh pasukan perubatan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi proses bedah siasat.

Terdahulu, tular beberapa gambar kenderaan mangsa dalam keadaan remuk teruk akibat terbabit dalam kemalangan di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 5:37 PM