ISTERI Allahyaram menyiram air mawar di pusara Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat di tanah perkuburan Islam Asajaya Laut, hari ini. FOTO Norsyazwani Nasri
ISTERI Allahyaram menyiram air mawar di pusara Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat di tanah perkuburan Islam Asajaya Laut, hari ini. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Asajaya: Jenazah Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Asajaya Laut, di sini, hari ini.

Suasana pilu diiringi hujan renyai-renyai mengiringi pengebumian jenazah mangsa yang dihadiri ahli keluarga terdekat, rakan serta rakan sekerja Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan.

Terdahulu, jenazah mangsa dibawa keluar dari Hospital Umum Sarawak(HUS) selepas selesai bedah siasat dijalankan menggunakan van jenazah TUDM ke kampung halamannya di Kampung Asajaya Laut pada 9.15 pagi.

Jenazah dibawa ke rumah untuk tatapan kali terakhir ahli keluarga sebelum disembahyangkan di Masjid An-Najah Asajaya, bacaan talkin diketuai Sarjan Skuadron 33 TUDM, Mohd Shakur Abd Rahman.

Isteri Allahyarham, Nur Atiqah Nurul Supyie, 29, dilihat tidak dapat menahan sebak dan sedih sepanjang urusan pengebumian dijalankan.

Hadir sama, Komander Pangkalan Udara Kuching, Kolonel Mohd Azwan Bohari.

Adik Allahyarham, Mohd Azniel Sehamat, 20, ketika ditemui selepas majlis pengebumian memanjatkan kesyukuran kerana urusan pengebumian abangnya berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah... walaupun masih sedih dengan kejadian ini kami sekeluarga bersyukur kerana proses pengebumian jenazah dipermudahkan.

"Banyak kenangan serta nasihat abang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat," katanya.

Menurutnya, abangnya banyak membantu sepanjang proses dia menjejakkan kaki ke menara gading di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dan Elektrik.

Katanya, abangnya banyak memberi nasihat dan bantuan daripada segi kewangan sepanjang menuntut di universiti.

"Kami sekeluarga masih terkejut dan sukar mempercayai kejadian menimpa abang dan pada hari kejadian, saya ada mendengar kes insiden tembakan itu dan membaca cerita ditularkan.

"Namun, langsung tidak menyangka abang sendiri menjadi salah seorang mangsa," katanya yang kini menuntut di tahun dua Unimas.

Mohamad Ehsan yang juga anak keenam daripada 10 adik-beradik terdiri daripada tiga perempuan dan tujuh lelaki meninggalkan balu, Nur Atiqah Nurul yang kini mengandung empat bulan anak sulung mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:53 PM