GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang disyaki didera ibu kandung dan tempat lelaki wanita itu di Bandar Hilir di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kanak-kanak malang itu diselamatkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ, pada 10.45 malam selepas menerima maklumat awam.

Katanya, terdahulu pada 9.25 malam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menerima panggilan telefon memaklumkan kes berkenaan.

"Pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh badannya dan mangsa dipercayai dipukul oleh ibu kandung dan teman lelakinya dengan menggunakan tangan serta tali pinggang," katanya hari ini.

Mohd Sukri berkata, mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dan kini ditempatkan di wad.

"Bagaimanapun tiada kecederaan ditemui pada adik mangsa yang berusia setahun lebih itu," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah menahan ibu mangsa berusia 30 tahun dan teman lelakinya, 38, di dua lokasi berasingan antara 12.15 tengah malam hingga 12.45 tengah malam.

"Suspek wanita ditahan di rumah, manakala teman lelakinya ditangkap di pekarangan Balai Polis Bandar Hilir.

"Kedua-dua mereka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:29 PM