Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 1,498,274 remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin jenis Comirnaty manakala 52,774 menerima dos lengkap.

Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, lima negeri dengan pencapaian tertinggi suntikan adalah Labuan (77.6 peratus), diikuti Kedah (67.1 peratus), Sarawak (62.7 peratus), Perlis (61.8 peratus) dan Melaka (59.4 peratus).

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berumur 12 hingga 17 tahun turut memberi perhatian kepada golongan remaja orang kurang upaya (OKU) di institusi atau pusat jagaan OKU berkediaman.

"Antaranya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Institusi Pendidikan dan Remaja OKU terlantar di rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I berkata, Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) melaporkan 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar sehingga 31 Ogos lalu.

"Seramai 51,361 adalah remaja OKU dalam sistem pendidikan dan daripada jumlah ini, 793 orang daripada Murid Berkeperluan Khas (MBK) berada di Sekolah Berasrama.

"Selain itu remaja OKU juga berada di 705 institusi pemulihan harian seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Institusi jagaan OKU kerajaan dan swasta, serta 21 buah institusi OKU berkediaman," katanya.

Menurutnya, PICK-Remaja mensasarkan semua remaja OKU tanpa mengira status warganegara.

"Pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar perlu dilakukan oleh pengetua, pengusaha dan penyelia institusi masing-masing melalui portal Vaksin Anakku.

"Remaja OKU terlantar di komuniti dikenal pasti melalui sama ada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di bawah JKM atau senarai berdaftar dengan PDK atau pendaftaran remaja OKU terlantar di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Proses pemberian vaksin kepada remaja OKU di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) dan berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta, atau pasukan kesihatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Noor Azmi berkata, remaja OKU terlantar yang tiada dalam senarai di atas, ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan, atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja itu bagi mendapatkan vaksinasi.

"Remaja OKU bersekolah harian akan diberi vaksinasi secara berjadual di PPV atau sekolah dan remaja OKU bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

"Bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), remaja OKU Mental atau dengan komorbid yang lain, pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan dengan rumah," katanya.

Katanya, senarai nama remaja OKU ini akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Pemberian janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera, manakala bagi ibu bapa yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemberian vaksin akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) dan berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 2:55 PM