Siti Rohana Idris

Tumpat: Agihan 1.2 juta dos vaksin Covid-19 untuk Kelantan yang diumumkan kerajaan semalam, disifatkan khabar gembira dan harapan untuk mencapai imuniti kelompok semakin hampir.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini, 585,000 dos vaksin sudah diperoleh dan dengan agihan yang bakal diterima, jangkaan 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir September ini akan dapat dicapai.

"Setakat ini kita tertinggal di belakang berbanding beberapa negeri lain dan kalau vaksin ikut jadual, kita yakin akan dapat (capai) 80 peratus komuniti kelompok hujung September ini.

"Sekarang ada 585,000 dos dalam tangan dan akan sampai pula 1.2 juta dos, maknanya cukup untuk kita sampai imuniti kelompok malah semalam, kita mampu suntik 36,394 dos dalam tempoh sehari di seluruh Kelantan," katanya kepada media di sini, hari ini.

AHMAD Yakob (kiri) beramah mesra dengan penduduk sekitar yang hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di SK Kampong Laut yang dijadikan pusat pemberian vaksin sempena Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan. FOTO Siti Rohana Idris
AHMAD Yakob (kiri) beramah mesra dengan penduduk sekitar yang hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di SK Kampong Laut yang dijadikan pusat pemberian vaksin sempena Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan. FOTO Siti Rohana Idris

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam, mengumumkan akan mengagihkan 1.2 juta dos vaksin Covid-19 kepada Kelantan selain empat negeri lain yang dicatatkan mempunyai penularan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad menyifatkan ia perkembangan yang baik dan memberi semangat kepada rakyat Kelantan untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan lebih cepat.

Pada masa sama, Ahmad berkata, 20,000 dos vaksin yang dibekalkan nanti akan diperuntukkan untuk penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini.

Menurutnya lagi, ia bertepatan dengan hasrat untuk mempercepatkan proses pemberian suntikan vaksin Covid-19 terhadap penduduk di kawasan yang berisiko mengalami banjir yang dijangka akan selesai menjelang Oktober ini.

"Kita akan beri tumpuan kepada kawasan banjir besar dan lokasi yang berisiko banjir yang mana 20,000 dos akan kita letak (agih) di lokasi berkenaan.

"Kita harap dapat habiskan (proses suntikan vaksin) sehingga September ini, pada masa sama, kami harap banjir besar tidak melanda," katanya.

Terdahulu, beliau melawat Sekolah Kebangsaan Kampong Laut di sini, yang dijadikan pusat pemberian vaksin sempena Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Pekan.

Sepanjang empat hari beroperasi, 2,340 individu sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 12:18 PM