ILMU membuat keranda dipelajari menerusi YouTube.
ILMU membuat keranda dipelajari menerusi YouTube.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Selama 15 tahun menjadi 'gadis lorong', mak nyah ini kini 'cuci tangan' malah bekerja sebagai pembuat keranda, batu nisan dan kepuk.

Selain itu, Jun atau nama sebenarnya Muhamad Asrul Abdu Kadir, 38, turut terbabit dalam kerja amal menguruskan jenazah hingga ke liang lahad.

Dia pernah dicop 'gila' oleh rakan mak nyah kerana memilih kerjaya itu dan menjadi satu-satunya mak nyah yang terbabit dalam bidang berkenaan.

Jun berkata, dia mula serius menjadi pembuat keranda, batu nisan dan kepuk sejak lima tahun lalu kerana ingin mengumpul pahala bagi menebus kesilapan silamnya.

Katanya, selain itu, pekerjaan ini juga mengingatkan dirinya akan kematian yang boleh berlaku bila-bila masa.

"Pada asalnya, saya memang tidak tahu membuat keranda, kepuk dan batu nisan, tetapi suka melihat orang lain yang melakukannya.

"Selepas itu, saya suka 'bereksperimen' di rumah untuk menghasilkan tiga kelengkapan berkenaan, tetapi tidak berjaya.

"Lalu saya mengambil inisiatif mempelajari cara pembuatan keranda, kepuk dan batu nesan yang lebih teliti menerusi YouTube. Alhamdulillah, saya berjaya menghasilkan hasil yang diinginkan," katanya.

Jun berkata, kini dia semakin cekap menghasilkan keranda, batu nisan dan kepuk yang boleh disiapkan dalam masa dua hingga tiga hari.

Katanya, walaupun sudah banyak membuat keranda, batu nesan dan kepuk tempahan pelanggan, tetapi jauh di lubuk hatinya 'terselit' perasaan ralat kerana tidak dapat menghasilkan tiga kelengkapan berkenaan untuk ibunya yang meninggal dunia pada 2016.

"Perasaan ini masih dirasai hingga ke hari ini, tetapi saya bersyukur berpeluang melakukan perkara itu untuk adik yang meninggal dunia pada 2018.

"Sudah tentunya perasaan lebih puas apabila dapat menyediakan kelengkapan ini untuk ahli keluarga sendiri," katanya.

Berkongsi pengalamannya menjadi pengurus jenazah pula, Jun berkata, dia menceburi bidang itu sejak 22 tahun lalu.

Katanya, ini adalah pekerjaan yang diimpikan sejak kecil dan sering berdoa untuk memiliki tempat memandikan jenazah, menjadi tukang membuat kepok, membuat keranda dan batu nesan.

"Keinginan ini semakin meningkat selepas pertama kali melihat orang memandikan jenazah pada usia sembilan tahun.

"Malah, kerana minat yang mendalam juga, saya turut terbabit menguruskan jenazah dalam kalangan kenalan, walaupun ketika itu masih bekerja sebagai 'gadis lorong'," katanya.

Jun berkata, setakat ini, dia sudah menguruskan lebih 500 jenazah terdiri daripada rakan dan ahli keluarga kenalan.

"Saya lakukan kerja ini secara sambilan kerana pekerjaan utama adalah sebagai pembuat keranda, kepok dan batu nesan," katanya.

Menurut Jun, dia banyak menguruskan jenazah di Alor Setar, Kedah bersama dua rakannya sebagai aktiviti amal.

"Pengurusan jenazah secara percuma diberikan kepada waris yang tidak berkemampuan.

"Bagi waris berkemampuan, bayaran pengurusan jenazah adalah antara RM600 hingga RM800," katanya.

Jun berkata, dia sudah lali 'bermain' dengan bau busuk mayat yang adakalanya umpama 'melekat' di hidungnya sehingga berhari-hari.

"Ada jenazah yang cepat berbau dan sebaliknya. Pada awalnya, memang terkejut dengan bau berkenaan, tetapi lama kelamaan, ia menjadi biasa.

"Namun begitu, saya berasa puas dapat membantu menguruskan setiap jenazah hingga ke liang lahad," katanya.

Menurutnya, pekerjaan itu membuatkannya berasa gembira, tenang dan bahagia kerana selain dapat membantu ramai orang, dia dapat merasai keberkatan pendapatan diperoleh.

"Pendapatan dahulu sebagai 'gadis lorong' memang lumayan. Satu malam boleh dapat RM600 hingga RM700. Tetapi ia umpama wang 'panas' dan akan habis sekelip mata.

"Saya tidak mahu tewas dengan kenangan silam sisi gelap kehidupan dan akan meneruskan tugas sekarang.

"Saya mempunyai impian untuk memiliki van jenazah bagi memudahkan pengurusan jenazah untuk waris kurang berkemampuan," katanya.

Jelasnya, hikmah dirinya berada dekat dengan jenazah ialah, ia menjentik hatinya untuk terus berubah ke arah kebaikan.

"Tidak dinafikan, saya turut tidak terlepas menerima kecaman segelintir masyarakat yang mempertikaikan niat murni apabila mengetahui sisi hitam selain fizikal seakan wanita walaupun cara pemakaian ke arah lelaki.

"Namun, saya tidak mengambil pusing semua itu kerana niat saya adalah ikhlas iaitu untuk melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 7:01 AM