MOHD Kamil Abdullah menunjukkan sebahagian pokok sayuran yang ditanam di tapak projek kebun komuniti di PPR Senawang. FOTO MOHD AMIN JALIL.
MOHD Kamil Abdullah menunjukkan sebahagian pokok sayuran yang ditanam di tapak projek kebun komuniti di PPR Senawang. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Niat saya hanya untuk membantu meringankan beban sebahagian penduduk di sini terutama dari segi menjimatkan belanja dapur ketika pandemik covid-19," kata ketua projek kebun komuniti, Projek Rumah Pangsa Perumahan Rakyat (PPR) Taman Jasmin Senawang, di sini, Mohd Kamil Abdullah, 57.

Dia berkata, penduduk di rumah pangsa berkenaan yang memerlukan makanan boleh mendapatkan sayur ditanam secara percuma.

Menurutnya, pihaknya sedar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan penularan pandemik Covid-19, inisiatif itu sikit sebanyak membantu meringankan beban mereka khususnya dalam berdepan kenaikan harga sayur-sayuran.

"Projek ini dimulakan pertengahan tahun lalu sebagai inisiatif untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pihak berkuasa.

"Malah, projek ini juga turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) dan Sekretariat Muafakat Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Terdapat lebih 300 pokok sayuran pelbagai jenis seperti kangkung, kailan, sawi, terung bulat, serai, pandan dan cili kulai ditanam di tapak projek ini termasuk menerusi kaedah hidroponik," katanya tadi.

Pesara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, projek ini mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia bukan tanaman jangka panjang seperti durian, nangka dan lain-lain lagi yang mengambil masa lama untuk berbuah.

Ujar beliau, majoriti penduduk di PPR itu adalah kategori B40 dan ramai yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19 termasuk kalangan ketua keluarga yang hilang sumber pendapatan.

Katanya, pihaknya bercadang untuk meluaskan lagi projek berkenaan di setiap 42 blok perumahan terbabit supaya lebih ramai penduduk di situ menerima hasilnya.

"Saya sudah menyuarakan perkara ini kepada pihak PBT dan menerima maklum balas yang positif, malah Jabatan Pertanian juga menyatakan kesediaan menyalurkan input pertanian.

"Insya-Allah, diharap projek ini dapat memberi manfaat kepada ramai penduduk di PPR ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:04 PM