Mohamed Rafique (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada  Mohamad Zalani (dua dari kanan) sambil ditemani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Prof Datuk Dr. Mohd Azmi Omar, (kiri) dan Ketua Penyelidik, Prefessor Dr Baharom Abdul Hamid, (tiga dari kiri) selepas Majlis Perasmian Projek Urban Farming Maybank Islamic di Taman Bandar Rinching Seksyen 5, Semenyih. FOTO AZHAR RAMLI
Mohamed Rafique (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Mohamad Zalani (dua dari kanan) sambil ditemani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Prof Datuk Dr. Mohd Azmi Omar, (kiri) dan Ketua Penyelidik, Prefessor Dr Baharom Abdul Hamid, (tiga dari kiri) selepas Majlis Perasmian Projek Urban Farming Maybank Islamic di Taman Bandar Rinching Seksyen 5, Semenyih. FOTO AZHAR RAMLI
Sudirman Mohd Tahir


Semenyih: Projek pertanian bandar hasil daripada bantuan zakat berjaya membantu komuniti Seksyen 5 Bandar Rinching menjimatkan wang dan dalam masa sama membantu menaikkan taraf ekonomi.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Seksyen 5 Bandar Rinching merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohamad Zalani Kamaruddin berkata, projek berkenaan membantu mengurangkan kos perbelanjaan dapur peserta yang terbabit dalam aktiviti itu.

"Di sini, projek ini dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara berkelompok membabitkan 30 peserta dan 30 lagi secara individu di rumah masing-masing. Setiap individu mempunyai kit masing-masing untuk dijaga dan diusahakan.

"Projek ini bermula semasa pandemik. Ketika itu ramai yang dalam kesusahan. Jadi, apabila projek ini dijalankan di sini dan membabitkan penduduk di sini, ia dapat mengurangkan perbelanjaan dapur mereka. Setiap peserta bila-bila masa saja boleh menuai hasil tanaman mereka," katanya pada majlis perasmian projek berkenaan, hari ini.

Antara sayur-sayuran yang ditanam adalah bendi, bayam, ceri tomato, bayam merah, ketumbar, bayam air, dan saderi adalah beberapa contoh sayur-sayuran yang menghasilkan hasil gabungan purata bernilai RM80 hingga RM120 setiap peserta sebulan.

Selain itu, hasil jualan daripada kolam ikan memberi anggaran pendapatan bulanan sebanyak RM500, dengan peserta berkongsi pendapatan ini.

Program dengan kerjasama INCEIF University yang diusahakan sejak September 2021 itu mendapat sumbangan dana RM90,000 daripada Maybank Islamic bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi dan meringankan beban kehidupan golongan asnaf dan B40.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, program itu menyaksikan terdapat peserta memperolehi pendapatan tambahan sehingga RM1,500 sebulan hasil daripada penuaian sayur-sayuran dan hasil akuakultur.

"Bermula dengan penyelidikan yang dijalankan oleh pihak INCEIF yang secara holistik memberi tumpuan kepada kaedah pertanian bandar sebagai pertanian alternatif di samping dapat menjimatkan wang serta menjadi sumber makanan yang sihat.

"Pertanian bandar yang mampan bukan saja membolehkan komuniti untuk berdikari dalam menanam makanan mereka sendiri tetapi ia juga berpotensi menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang berminat dalam dunia keusahawanan dan juga boleh membawa kepada perpaduan sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 7:04 PM