PERTANDINGAN memasak makanan sihat turut diadakan.
PERTANDINGAN memasak makanan sihat turut diadakan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"Sebelum ini saya tidak mengamalkan pemakanan seimbang berdasarkan piramid makanan.

"Tetapi tabiat ini sudah berubah selepas menjadi duta pemakanan komuniti," kata Nor Azmira Musthafa, 31.

Nor Azmira adalah seorang daripada 32 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam yang dilantik sebagai duta pemakanan komuniti sejak Jun tahun lalu, menerusi program Duta Putra Pemakanan Komuniti (Putracnap) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Nestle Malaysia.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sebelum ini, sayuran tidak menjadi hidangan wajib harian keluarganya kerana kurang menggemari makanan berkenaan, berbanding ikan dan ayam.

"Selepas menjadi duta pemakanan komuniti dan diberikan maklumat mengenai kepentingan mengambil sayur-sayuran serta mengetahui khasiat tinggi makanan ini terhadap kesihatan, saya mengubah hidangan makanan untuk keluarga.

"Kini, sayur sudah menjadi makanan kegemaran keluarga dan berasa tidak lengkap tanpa hidangan ini," katanya.

Katanya, hasil pemakanan seimbang ini juga membantunya mengurus diet sihat dan berjaya menurunkan sedikit berat badan daripada 63 kilogram (kg) kepada 61kg.

Jelasnya, selain itu, ilmu yang diperoleh sebagai duta pemakanan komuniti, turut dikongsikan kepada rakan dan penduduk kawasan perumahan berkenaan.

Untuk rekod, program Putracnap membabitkan tiga fasa yang dilaksanakan selama setahun.

Objektifnya ialah untuk meningkatkan kesedaran penduduk mengenai keselamatan makanan dan pemakanan, memperkasa duta pemakanan dengan kemahiran dan kemahiran berkaitan pemakanan sihat serta menyokong konsep 'daripada kebun ke meja makan' kepada komuniti melalui duta pemakanan komuniti.

Sementara itu, Timbalan Dekan Siswazah, Jaringan Industri, Masyarakat dan Penjanaan Pendapatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Prof Dr Cheah Yoke Kqueen berkata, program Putracnap dilancarkan pada April 2022 dengan matlamat menambah baik tabiat pemakanan dan gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ia adalah program penyelidikan pemakanan komuniti berasaskan konsep 'kebun ke meja' yang diketuai Prof Madya Dr Chin Yit Siew dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, dilaksanakan dalam tiga fasa.

"Dalam fasa pertama, 63 ibu dan anak daripada PPR dan PA terpilih di Lembah Klang didaftarkan dalam program ini menerusi Kempen Saringan Kesihatan dan Kesedaran Pemakanan," katanya.

Katanya, 32 daripada 63 ibu, dilantik sebagai duta pemakanan komuniti pada fasa kedua.

Ia membabitkan komponen 'train the trainers' untuk membekalkan mereka ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan.

Tujuannya memperkasa masyarakat terhadap amalan gaya hidup sihat yang lebih mampan dan sihat.

"Duta pemakanan komuniti turut dilatih teknik pertanian bandar untuk membolehkan mereka menanam sayur-sayuran.

"Sebahagian daripada fasa ketiga pula diterjemahkan melalui program Karnival Kesihatan Pemakanan Komuniti 'daripada kebun ke meja makan'.

"Dalam program ini (Karnival Kesihatan Pemakanan Komuniti), duta pemakanan komuniti menganjurkan pameran pemakanan interaktif dan informatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai pertanian bandar, pemakanan, aktiviti fizikal serta diet mampan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia Datuk Adnan Pawanteh berkata, kerjasama dengan UPM dalam program ini dapat menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat terutama komuniti PPR.

"Kelompok ini mungkin lebih terdedah kepada isu kekurangan zat makanan kerana tidak berkemampuan membeli makanan berkhasiat.

"Melalui program ini, ia dapat mendidik mereka mendapatkan makanan sihat dengan cara mudah dan murah melalui tanaman sayuran di sekitar kawasan perumahan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 6:43 AM