Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dalam sebuah bot kerana disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan minyak diesel di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM KUALA PERLIS
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dalam sebuah bot kerana disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan minyak diesel di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM KUALA PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand kerana disyaki cuba menyeludup diesel di Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kejadian berlaku pada 1.15 pagi kira-kira 0.5 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis.

Menurutnya, hasil maklumat risikan dan pemantauan mendapati aktiviti penyeludupan diesel itu didalangi bot nelayan tempatan serta beroperasi di muara sungai Kuala Perlis.

"APMM berjaya mengesan dua suspek mengemudi bot disyaki dalam keadaan mencurigakan sedang keluar dari jeti nelayan Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar 12.50 tengah malam.

"Sebaik menyedari bot mereka diekori, suspek kemudian memecut laju untuk melarikan diri dengan menuju ke sempadan perairan Thailand tetapi gagal apabila dipintas bot peronda APMM.

"Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh tekong warga tempatan berusia 58 tahun dan seorang kru warga Thailand berusia 18 tahun. Mereka juga tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu menemukan satu ruang tangki di hadapan bot yang diubah suai dan memuatkan kira-kira 4,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM8,600.

Katanya, siasatan awal percaya diesel berkenaan cuba diseleweng serta diseludup ke negara jiran.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Katanya, bot serta diesel dianggarkan bernilai keseluruhan RM71,200 dirampas dan dibawa ke Jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 4:22 PM