KEADAAN bot yang diubahsuai untuk menyeludup diesel ke Thailand. FOTO Ihsan APMM.
KEADAAN bot yang diubahsuai untuk menyeludup diesel ke Thailand. FOTO Ihsan APMM.
Aizat Sharif


Kangar: Tiga lelaki termasuk seorang tekong bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas cuba menyeludup keluar 8,000 liter diesel bersubsidi ke Thailand di sekitar perairan Kuala Perlis, di sini semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.13 malam ketika APMM Zon Maritim Kuala Perlis sedang melakukan rondaan 'Op Aman' di sekitar perairan itu dan terserempak dengan bot nelayan pada kedudukan sekitar 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan suspek dalam bot nelayan Kelas C itu dilakukan hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik APMM.

"Bot nelayan itu ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, ketika bot ronda sedang dalam rondaan Op Aman.

"Bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua awak-awak warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati, ia sudah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah ruang kemudi di mana diesel berkenaan akan diisi pada tangki berkenaan sebelum diseludup ke Thailand.

"Anggaran keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin, dan minyak diesel yang dirampas adalah sekitar RM 216,000 dengan nilai bagi diesel yang dirampas itu adalah sebanyak RM16,000.

"Siasatan awal kami mendapati suspek sudah sebulan menjalankan kerja penyeludupan bahan api bersubsidi ini dengan aktif di sekitar kawasan maritim sempadan Malaysia-Thailand.

"Sindiket akan membayar sebanyak RM600 bagi setiap penghantaran dengan RM300 adalah untuk tekong sementara upah RM150 setiap seorang bagi awak-awak berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kesemua rampasan dibawa masuk ke jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar diesel bersubsidi.

Orang ramai dan persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi APMM Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:51 PM