Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand selepas menjumpai 17 bungkusan plastik hitam daun ketum seberat 255 kilogram (kg) bernilai RM45,900 terapung di perairan Kuala Perlis, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kejadian berlaku pada jam 7.15 malam pada kedudukan 3.0 batu nautika daripada barat daya muara Kuala Perlis.

"Bot peronda APMM ke sekitar lokasi berkenaan dan mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.

"Bot berkenaan didapati baru saja meninggalkan Pulau Ketam di Kuala Perlis menuju ke sempadan perairan Thailand.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek mencampakkan bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, pemeriksaan menjumpai 17 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum.

ANGGOTA APMM memeriksa bungkusan mengandungi daun ketum yang dibuang ke laut. FOTO ihsan APMM Perlis
ANGGOTA APMM memeriksa bungkusan mengandungi daun ketum yang dibuang ke laut. FOTO ihsan APMM Perlis

"Kita percaya bahawa bekalan daun ketum ini cuba diseludup ke Thailand menggunakan taktik penggunaan bot kayu enjin sangkut bergalah.

"Bot ini akan membawa bekalan daun ketum ini menuju ke sempadan perairan Malaysia-Thailand sebelum bungkusan daun ketum itu dipindahkan ke bot nelayan Thailand di perairan negara itu," katanya.

Beliau berkata, ini adalah rampasan kedua membabitkan daun ketum pada minggu ini dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM115,900.

"Pihak kami percaya ini adalah jenayah terancang dan akan menjejaki dalang utama sindiket ini bagi memastikan aktiviti penyeludupan daun ketum ini dapat dilumpuhkan.

"Semua rampasan dibawa masuk ke Jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 12:47 PM