Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kemudahan merentas negeri bagi individu bujang lengkap vaksinasi untuk melawat ibu bapa akan dipertimbangkan, selepas menilai pelaksanaan kemudahan itu terhadap ibu bapa yang tinggal berjauhan anak berusia 18 tahun.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pada peringkat ini, kebenaran merentas negeri hanya kepada kumpulan ibu bapa berkenaan, selain pasangan suami isteri tinggal berjauhan.

"Saya tahu isu kekeluargaan menjadi persoalan dan bukan mudah untuk kita putuskan, namun melihat kepada risiko, (dan) membenar individu bujang merentas negeri (ketika ini) agak sukar kerana jumlahnya begitu besar.

"Pada peringkat awal ini, kita hanya membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah yang tinggal berasingan untuk merentas negeri.

"Insya Allah kalau ini dapat dijayakan dengan tidak ada peningkatan kes Covid-19, maka tiada sebab untuk kita tidak memperluaskannya kepada golongan bujang pula pada masa akan datang," katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.

Hishammuddin berkata, kerajaan bimbang sekiranya memberi kebenaran sama secara serentak kepada golongan bujang akan mendatangkan masalah lain terutama jika gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara serius selain kesukaran penguatkuasaan.

Menurutnya juga, kebenaran merentas negeri dibuat bersandarkan keperluan bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental rakyat serta mengutamakan hubungan kekeluargaan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran buat penerima lengkap vaksin dengan pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang tinggal berjauhan anak di bawah 18 tahun, dibenar merentas negeri bermula esok.

Kebenaran itu bagi mereka yang tinggal di negeri yang berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ke atas.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 8:55 PM