Masya Masyitah
Masya Masyitah
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Masya Masyitah memaklumkan sudah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada 16 Mei lalu berhubung dakwaan pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah dari Kuala Lumpur menggunakan surat merentas negeri ibunya.

Masya berkata, pihaknya sudah memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan. 

"Saya sudah hadir memberi keterangan pada hari keempat sambutan Aidilfitri lalu. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Sejujurnya, saya tidak takut kerana bukannya mencuri, menipu atau menggunakan orang dalam untuk dapatkan surat merentas negeri. 

"Ketika itu memang polis benarkan untuk merentas negeri bagi pasangan jarak jauh. Jadi saya harap isu ini tidak perlu diperbesarkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single mandarin solo pertama berjudul Jiu Meng Xin Su secara virtual, sebentar tadi.  

Menurut Masya, dia  tidak mampu mengawal segelintir mulut netizen yang masih membuat spekulasi tidak betul sebaliknya hanya mampu bersabar. 

"Saya akui mungkin silap saya kerana bercerita mengenai kepulangan saya ke kampung halaman. Jadi saya ambil apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran. 

"Fasal netizen saya tak mampu nak mengawal apa yang mereka fikir. Saya sudah menjalankan apa yang sudah diminta, jadi saya tak nak ambil tahu kerana bimbang saya yang kena nanti," katanya. 

Terdahulu Polis menjalankan siasatan terhadap Masya yang didakwa pulang ke kampung menggunakan surat kebenaran merentas negeri pasangan jarak jauh disebabkan ibu dan bapanya tinggal berjauhan.

Media sebelum ini melaporkan, Masya Masyitah atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff memohon maaf dan memberi penjelasan mendapat 'lampu hijau' daripada pihak berkuasa untuk pulang ke Kulim atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

Selepas mendapat pelepasan rentas negeri yang dimohon ibunya, secara tidak langsung dia juga berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas mereka terpisah dengan bapa serta adik beradik berikutan tidak boleh merentas negeri pada sambutan raya tahun lalu.

Bagaimanapun, penjelasan artis menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet yang mendakwa dia mengambil kesempatan merentas negeri menggunakan tiket kebenaran ibunya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:22 PM